Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM minta kakitangan awam bantu pantau individu bermasalah
Diterbitkan:  May 6, 2024 11:58 AM
Dikemaskini: 7:57 AM

Perdana Menteri berkata kakitangan awam perlu membantu mengenal pasti pihak dalam kerajaan yang "merosakkan nama" sesebuah jabatan atau agensi negara.

Berucap di majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, Anwar Ibrahim berkata, ada segelintir penjawat awam yang mendatangkan masalah.

Katanya langkah tersebut merupakan salah satu anjakan yang agak radikal perlu dilakukan oleh kakitangan awam selepas mereka diberikan pengiktirafan oleh kerajaan.

"Saya minta saudara-saudara mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.

“Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah.

"Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu? Jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama,” katanya seperti dipetik Bernama pagi ini.

Ia turut dihadiri kedua-dua timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Pada 1 Mei lalu Anwar mengumumkan bahawa kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Dis ini dan ia melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kerajaan juga, katanya, akan memastikan jumlah pendapatan minimum setiap penjawat awam adalah melebihi RM2,000 sebulan.

Pada masa sama Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan kenaikan itu akan dikecualikan pada kakitangan awam yang bermasalah dan pemalas.

Tetap dua per tiga

Kata Anwar kerajaan mengambil keputusan yang radikal dan berani apabila membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam ketika negara masih belum pulih sepenuhnya daripada ekonomi tidak menentu selain isu ketirisan dan rasuah.

“Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji ditangguh sehingga ekonomi itu lebih stabil, maknanya hutang kurang.

“Tetapi saya lihat (isu berkenaan) dari segi Madani, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan.

"Bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca daripada mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan dari segi kecuaian banyak pihak lain.

“Jadi kita pertimbangkan itu, tak boleh dibebankan, dan ada kewajaran kita sebagai 'bapa' dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani (naikkan gaji penjawat awam),” katanya.

Sementara itu Anwar menambah, cadangan menaikkan gaji kakitangan awam itu diyakini tidak akan berdepan dengan halangan apabila ia dibentangkan di parlimen melalui Belanjawan 2025 nanti.

Mengulas kenyataan ahli politik pembangkang yang memberi bayangan usul tersebut mungkin terkandas apabila tidak mendapat sokongan, Anwar berkata, ia sepatutnya tidak menjadi masalah.

“Ada yang pertikai, maknanya (rancangan itu) belum muktamadlah tu, mana tahu parlimen (mungkin) tak luluskan.

“Saya nak tanya ahli parlimen mana yang nak bantah?

"Kalaupun (ada yang) bantah, (kerajaan) ada Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, majoriti (di Dewan Rakyat) tetap dua per tiga, insya-Allah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS