Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan seorang suspek serangan asid Faisal Halim

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 20an kerana serangan asid semalam terhadap pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis dijangka memperoleh perintah reman terhadap suspek hari ini.

"Kami telah rakam kenyataan daripada tiga orang termasuk mangsa.

"Polis juga telah menangkap seorang lelaki dalam 20an dan akan direman hari ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Penyiasat dijangka menemu bual beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Selangor semalam.

Insiden itu menyaksikan Faisal, yang juga pemain sayap Selangor FC, dikejarkan ke hospital swasta untuk menerima rawatan kerana kecederaan yang dialami akibat serangan asid.

Serangan kedua

Polis masih belum menjawab pertanyaan jika pihak berkuasa telah mengenal pasti motif serangan itu.

Menurut laporan media, ini merupakan insiden kedua membabitkan seorang pemain bola sepak negara dalam tempoh tiga hari, selepas Akhyar Rashid diserang di Terengganu pada Jumaat.

Ketika kejadian disyaki rompakan itu, Harian Metro melaporkan dua penyerang didakwa menyasarkan kaki Akhyar apabila menyerangnya menggunakan senjata yang kelihatan seperti belantan besi.

Ditanya sekiranya terdapat kaitan antara kedua-dua insiden itu, Hussein berkata siasatan sedang dijalankan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS